Sehubungan itu, mereka berharap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengesat air mata dan segera bertindak membela nasib golongan tersebut.

RAZALI SAAD
RAZALI SAAD 

Pesawah dari Kampung Sungai Baru di sini, Razali Saad, 53, berkata, surat daripada seorang pesawah Ibas Hamud, 77, yang diberikan kepada Salahuddin dalam satu majlis semalam ada kebenaran yang menggambarkan penderitaan para petani.

“Benar, kami memang terhimpit sekarang, kos sara hidup tinggi, hasil padi berkurangan dengan pendapatan pula tidak seberapa. Kos pengendalian bendang juga kini semakin tinggi.

“Kami para petani berharap kerajaan kekalkan pemberian subsidi dan pelbagai insentif lain yang sekurang-kurangnya boleh membantu meringankan beban petani.

“Menteri tidak perlulah menangis atau sedih tetapi ambil tindakan segera selesaikan masalah petani ini. Menteri berada di dalam kerajaan ketika ini, jadi bantulah kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam Majlis Pelancaran Hala Tuju kementerian itu di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam, Salahuddin menangis teresak-esak ketika membacakan surat daripada Ibas di atas pentas.

Dengan iringan bunyi seruling yang meruntun hati, Salahuddin mula menangis setelah membaca beberapa baris pertama surat tersebut yang antara lain menegur kementeriannya yang dianggap melupakan kebajikan para petani, pesawah, peneroka dan nelayan di negara ini.

ZAMZURI ISHAK
ZAMZURI ISHAK 

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Zamzuri Ishak, 34, pula berkata, kos input pertanian seperti racun, baja semakin mahal dan perkara itu perlu diberikan perhatian serius.

Dia juga berharap kerajaan meneruskan bantuan RM600 kepada para petani khususnya untuk membantu menampung perbelanjaan mereka ketika bukan musim menanam padi.

“Sekarang semua naik, barangan input pertanian naik, upah memajak, ambil padi juga meningkat. Ia juga antara faktor menyumbang kepada kesusahan golongan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE