Turut diserahkan petisyen mengandungi kira-kira 1,000 tanda tangan daripada enam ahli kariah masjid tersebut iaitu Taman Guar Syed Alwi, Taman Jali, Taman Kemajuan, Taman Hijrah, Taman Behor Ganding dan Taman Bukit Kaya.


Jurucakap kumpulan itu, Aisha Mat Akhir, 62, yang juga setiausaha masjid berkenaan berkata, memorandum dan petisyen itu diserahkan kepada seorang pegawai jabatan agama tersebut bagi mewakili pengarah.


“JHEAIPs diharap dapat mempertimbangkan kehendak kami yang mahukan imam daripada ahli-ahli kariah dan bukannya daripada orang luar.


“Kita mahu imam yang boleh berada setiap waktu di masjid dan bukannya seorang kakitangan kerajaan yang mempunyai kekangan kerana tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui di luar pejabat JHEAIPs di sini hari ini.


Jumaat lalu, ahli-ahli kariah masjid terbabit bukan sahaja mendesak Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meletak jawatan malah menganggapnya sebagai pembohong dan pengecut kerana tidak menyatakan punca sebenar seramai 25 orang imam dipecat di seluruh negeri ini pada 1 Januari lalu.


Dalam perhimpunan itu, mereka turut membawa kain rentang tertulis antaranya ‘Kami membantah penyingkiran Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Guar Syed Alwi’ dan ‘Pecat mufti dan bukannya pecat imam’.


Sebelum itu, tular sekeping surat dikeluarkan JHEAIPs berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.


Mohd. Asri kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda. - UTUSAN ONLINE