Keadaan ini tidak dibiarkan berterusan sebaliknya Kementerian Pendidikan Malaysia cuba mengatasinya menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (Macee) menerusi program Fulbright English Teaching Assistant (ETA).

Dalam program ETA ini, siswazah muda berusia 23 hingga 25 tahun dari Amerika Syarikat dibawa ke beberapa negeri di negara ini termasuk Perlis sebagai pembantu guru Bahasa Inggeris.

Para pelajar di Perlis antara yang bertuah dapat menikmati peluang ini yang diperkenalkan sejak tahun 2015.

Ketua Unit Bahasa Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Abdul Aziz Mustaffa berkata, setakat ini hanya lima sekolah di Perlis terlibat iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Islahiah, Behor Mali; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad, Arau; SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Kaki Bukit; SMK Tengku Suleiman, Beseri dan SMK Syed Sirajuddin, Mata Ayer,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 3,000 pelajar di sekolah menengah berkenaan berpeluang mening­katkan kemahiran pertuturan dalam bahasa Inggeris menerusi ETA pada setiap tahun.

Katanya. ini kerana hanya sekolah berkenaan sahaja ditempatkan guru ETA.

“Guru ETA ini hanya bertindak sebagai membantu guru subjek Bahasa Inggeris ketika berada di dalam kelas,” katanya.

Beliau berkata, guru ETA itu juga akan terlibat dalam aktiviti kokurikulum sebagai ruang untuk membolehkan pelajar meneruskan usaha bertutur dalam bahasa Inggeris.

Jelas Abdul Aziz, sebenarnya para pelajar ini faham apabila ditanya dalam bahasa Inggeris tetapi cuma mengalami masalah untuk bertutur.

“Ini dapat dilihat dalam Kem Bahasa Inggeris yang diadakan sempena Minggu Orientasi Guru ETA yang pertama kali diadakan di Perlis tahun ini,” katanya.

Sebanyak 300 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kuala Perlis diberi peluang menyertai kem yang diadakan selama setengah hari di Hotel Brasmana, Kuala Perlis, dekat sini baru-baru ini.

Keadaan di dalam dan luar hotel ini juga menjadi riuh-rendah apabila bilangan pelajar yang ramai ini sibuk dengan pelbagai aktiviti yang dibahagikan kepada beberapa segmen.

Setiap guru ETA ini akan me­ngendalikan sejumlah pelajar yang bukan sahaja melakukan aktiviti terhad di dalam bilik malah juga di kawasan padang.

Setiap pelajar dimestikan berada di dalam lima segmen termasuk melukis topeng muka super hero mereka.

Bermula dari super hero ini akan dikembangkan sehingga ia diandaikan ke dalam kehidupan mereka termasuk pergaulan dengan rakan sekolah dan juga ahli keluarga.

“Yang penting di kem ini, para pelajar didedahkan de­­ngan aktiviti yang mendorong mereka un­tuk bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi dalam keadaan yang menyeronokkan,” katanya.

Salah seorang pelajar, Khairul Harith Tabri, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Panggas berkata, dia tidak menyangka diberi peluang untuk menyertai kem ini.

“Selepas ini saya lebih yakin untuk menggunakan bahasa Ing­geris dalam pertuturan khususnya ketika di dalam kelas bahasa ini,” katanya.

Begitu juga dengan Anisah Japperi, pelajar tingkatan dua SMA Al-Islahiah, Behor Mali me­ngakui kem ini sangat berkesan sekalipun masanya agak singkat.

“Saya akui saya bertuah ke­rana berpeluang diajar oleh guru ETA ini sejak di tingkatan satu lagi,” katanya.

Bagi melancarkan pertuturan­nya, Anisah memberitahu dia cuba berbahasa Inggeris ketika bersama rakan-rakannya di sekolah sehingga menyebabkan kini dia lebih yakin dan tidak malu menggunakan bahasa ini.

Salah seorang guru ETA yang ditemui, Jamie Elaine Desro­sier, 23, dari New York berkata, ini merupakan kali kedua dia bertugas kerana masih ingin menabur bakti di SMA Al-Islahiah, Behor Mali.

“Saya yang membuat permohonan ini kerana semakin menyukai kehidupan dan budaya di sini,” ujarnya.

Katanya, kelemahan pelajar luar bandar hanya kera­na malu dan tidak yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.