Majlis perasmian penutup dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Seminar sehari ini anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis dengan kerjasama ShanPornam Metal Sdn.Bhd. dan Toshiba Tech (M) Sdn. Bhd.

Pengarah JAS negeri, Azman Shah Ismail berkata, kalangan peserta seminar ini melibatkan pihak industri, kerajaan, korporat, swasta dan institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Beliau berkata, ia dianjurkan bagi memberikan pendedahan mengenai kepentingan dan keperluan dalam pengurusan dan pengendali buangan terjadual dan 'Household E-waste'.

"Takrif buangan terjadual ini melibatkan buangan toksid dan berbahaya yang dihasilkan daripada sektor perindustrian, perubatan dan perdagangan," katanya.

Beliau berkata, sisa elektrik dan elektronik (dikenali sebagai E-waste) seperti mesin basuh, TV juga dikategori buangan terjadual yang perlu dikendali dan dilupuskan secara teratur bagi kesihatan dan keselamatan awam serta kesejahteraan alam sekitar. - UTUSAN ONLINE