KANGAR 24 Dis. - Seramai 200 murid tahun satu dalam Parlimen ini menerima sumbangan pakaian sekolah bernilai kira-kira RM200 menerusi Program Kembali Ke Sekolah 2018 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Program yang kali kelima dianjurkan pada setiap hujung tahun di bawah parlimen tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kangar, Ir. Shaharuddin Ismail.
Menurut Shaharuddin, program itu dibahagikan mengikut dua sesi iaitu dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebelah pagi dan tiga lagi DUN, pada petangnya.
“Sesi pagi melibatkan DUN Kayang dan Bintong iaitu seramai 90 orang manakala bakinya, DUN Sena, Indera Kayangan dan Kuala Perlis, seramai 110 orang,” katanya ketika ditemui.
Kata beliau, murid yang terpilih terdiri daripada golongan keluarga kurang bernasib baik atau pun penjaga yang mempunyai ramai anak bersekolah.
“Mereka (murid-murid) menerima sumbangan pakaian, kasut, tudung dan beg sekolah. Mereka ini dikenal pasti menerusi peringkat cawangan-cawangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE