Sudah pasti hanya sekadar mendengar cerita kegembiraan rakan-rakan yang memenuhi masa cuti hujung minggu de­ngan dilayan oleh ibu bapa untuk berkunjung ke tempat percutian ataupun menonton wayang.

Sebagai anak yatim yang menetap di rumah kebajikan, sudah pasti akan melalui jadual sama setiap hari, perlu patuh terhadap peraturan yang ditetapkan di asrama selain rutin harian ke sekolah menimba ilmu.

Atas keprihatinan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melaksanakan Program Jalinan Syawal Kasih MAIPs Menyantuni Anak Yatim Negeri Perlis 2017 buat kali keempat pada tahun ini.

“MAIPs tidak mahu anak-anak yatim di rumah kebajikan merasa diri diabaikan tanpa perhatian. Kita harap dengan prog­ram seperti ini setiap tahun akan dapat menggembirakan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Mohd. Nazim ber­kata, seramai 200 a­nak-anak yatim dari rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mak Teh, Asrama Yayasan Saad, Teratak Rahmat, Darul Farrah Ummi Aisyah, Rumah Kanak-Kanak Arau, Rumah Teduh dan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis (Peyatim) diraikan dalam program dua hari satu malam ke Pulau Pinang dan Bukit Merah Lake Town Resort di Perak baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil juga berkenaan bersama dengan anak-anak yatim di sepanjang program ini.

Destinasi pertama ke Gurney Plaza, Pulau Pinang untuk menonton tayangan filem kartun, Minions sambil menikmati bertih jagung menjadikan ia satu pengalaman menarik kepada anak-anak yatim berkenaan.

Selepas itu mereka menikmati keenakan burger dan minuman McDonalds yang disampaikan oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sekalipun berlaku kesesakan jalan sewaktu keluar dari Pulau Pinang menuju ke Bukit Merah Lake Town Resort tetapi wajah masing-masing tidak menampakkan kepenatan apabila sebaik tiba di taman tema tersebut telah disambut dengan layanan mesra oleh kakitangannya.

Jadi tidak hairanlah masing-masing sejak awal pagi sudah siap sedia menunggu masa untuk menaiki feri ke Pulau Orang Utan.

Tidak dinafikan pengalaman pertama kali bertemu dengan haiwan mamalia ini membuatkan anak-anak yatim berkenaan kelihatan amat teruja.

Perjalanan menaiki feri selama 15 minit dirasakan singkat dan masing-masing dilihat tidak sabar untuk meneroka pengalaman baharu untuk melihat dari dekat spesies yang semakin pupus ini.

Bagi dua adik beradik kembar, Nur Syazwani Nasuha Helmee dan Nur Syazwana Nasuha, 12, mengakui pengalaman melihat orang utan memang satu yang dianggap menakjubkan.

“Ngeri pun ada tetapi seronoklah kerana berpeluang melihat da­ri dekat,” ka­ta Nur Syazwani Nasuha.

Nur Syaz­wana pula ber­­kata, sebelum ini, dia mengenali orang u­tan melalui pem­ba­caan buku sahaja dan tidak menyangka akhirnya dapat melihat haiwan tersebut yang dikatakan hampir pupus.

Katanya, bukan itu sahaja, dia dapat melihat kehidupan sebenar dilalui oleh spesies haiwan tersebut termasuk yang paling tua berusia 32 tahun dan yang kecil berusia sembilan bulan.

Begitu juga dengan Mohd. Asrul Affendi, 8, dari Rumah Teduh tidak menyangka dapat melihat dengan dekat orang utan.

“Sekalipun mukanya agak menakutkan tetapi gelagatnya yang suka makan kelapa dan susu di hadapan kami memang sungguh menyeronokkan,” katanya.

Mohd. Asrul mengaku amat bertuah kerana diberikan peluang oleh MAIPs menyertai rombongan itu yang disertainya pertama kali.

Sepanjang berada di Bukit Merah Lake Town Resort ini, anak-anak yatim tersebut juga diberikan peluang berkunjung ke Taman Permainan Air.

Sebelum berangkat balik, semua mereka diraikan dalam majlis yang dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir penaja iaitu Ketua Operasi Group Resort MK Land Holding Berhad, Mukhriz Datuk Mohd. Roslan; Pengurus CMart, Kim Lin Seng dan Pengurus Bintong Travel & Tours, Mohd. Hanif Adzemi.

Kesemua anak-anak yatim menerima sumbangan duit raya dan baucar membeli-belah di CMart.

Pengalaman yang menyeronokkan kepada anak-anak yatim ini apabila masing-masing belajar untuk ‘bijak berbelanja’ di Pasar raya CMart Sungai Petani sebagai mengakhiri lawatan ini.