Operasi bersepadu yang turut disertai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) negeri dan polis itu telah dijalankan di Pos Sekatan Jalan Raya Aksem Chuping dan Padang Besar serta laluan masuk ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Padang Besar.

Kesemua mereka yang ditahan dan berusia 17 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis syabu, ganja dan opiat.

Mereka kemudian telah dibawa ke pejabat AADK sejurus selepas penahanan dan telah diambil tindakan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998 manakala warga negara asing itu diserahkan kepada Unit Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari AADK pada 19 Februari lalu, pihak AADK negeri telah mengadakan sambutan secara sederhana dengan menjalankan beberapa aktiviti seperti mengedarkan risalah Kempen Perangi Dadah Habis-habisan di kompleks-kompleks kerajaan, majlis bacaan yasin dan menyampaikan mesej berkaitan dadah di Pasar Tani Balai Baru.

Acara tersebut mendapat maklum balas yang baik daripada orang awam.

Pelbagai lagi program akan dijalankan secara berperingkat sempena sambutan kali ke-35 itu yang akan berlangsung sehingga Mac ini dengan tema 'Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita'.

Bagi orang ramai yang mempunyai maklumat dan ingin mengajukan aduan mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah, boleh terus ke Pejabat AADK negeri atau menghubungi talian 04-9764603. - UTUSAN ONLINE