Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan, Zaini Talib berkata, sebanyak 85 saman telah dikeluarkan hasil operasi itu.

“Kesalahan yang paling ba­nyak melibatkan pengubahsuaian plat nombor motosikal dengan 34 kes manakala selebihnya membabitkan tidak mempunyai lesen memandu dan insuran,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Kuala Perlis, di sini malam tadi.

Operasi berkenaan melibatkan empat pegawai dan 51 anggota Bahagian Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kangar.

Kesemua motosikal yang ditahan dalam operasi ini dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk proses dokumentasi dan pemeriksaan lanjut.

Zaini berkata, pihaknya mendapati kebanyakan yang ditahan dalam operasi itu melibatkan remaja lelaki di bawah usia 20 tahun manakala remaja perempuan pula sebagai pembonceng.

“Ia bukan sahaja melibatkan remaja negeri ini malah dikesan datang dari Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi ini dengan lebih kerap khususnya di kawasan Kuala Perlis yang menjadi tumpuan pelancong.