Pengarah Bahagian (Cawa­ngan Penguat Kuasa) FAMA, Mohd. Nawawi Harun berkata, surat amaran itu dikeluarkan sebagai peri­ngatan awal kepada peniaga supaya meletakkan tanda GPL di setiap barang keluaran pertanian yang dijual.

Beliau berkata, setakat ini pengeluaran surat amaran lebih kepada mendidik golongan peniaga mematuhi pelaksanaan GPL.

“Jika peniaga masih gagal mematuhi peraturan ini, baharulah dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 141 1965 dan Peraturan GPL 2008,” katanya selepas operasi penguatkuasaan bersama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Pasar Besar Sena, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah FAMA negeri, Shahrizan Sudiman.

Mohd. Nawawi berkata, jika melanggar akta ini yang melibatkan pertubuhan perbadanan boleh didenda RM25,000 (kesalahan pertama) dan tidak melebihi RM50,000 (kesalahan kedua dan berikutnya).

“Pengarah atau pegawai pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM15,000 setiap se­orang atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, manakala individu pula boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mohd. Nawawi berkata, label GPL perlu diletakkan pada barang yang meliputi maklumat nama keluaran pertanian sebagai contoh, cili dinyatakan gred, saiz, negara asal, tempat asal dan harga.

“Semua ini untuk kemudahan pengguna ketika membeli barang keluaran pertanian atau membuat pilihan hasil lebih segar dan murah jika keluaran tempatan,” katanya.