Pengarah Meteorologi negeri, Mohd. Saharudi Saad memberitahu, setakat bulan ini, Stesen Meteorologi Chuping di sini, mencatatkan bacaan suhu paling tinggi iaitu 36.8 darjah celsius pada 8 dan 22 Februari lalu.

Katanya, fenomena cuaca panas itu dijangka berterusan sehingga penghujung Mac ini iaitu sehingga berakhirnya monsun timur laut.

"Semalam pula, bacaan suhu mencatatkan 35.8 darjah celcius iaitu antara pukul 2 sehingga 5 petang. Manakala jumlah taburan hujan pula hanya 48.8 milimeter direkodkan pada 19 dan 20 Februari lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya para petani, pesawah serta pelajar agar mengurangkan aktiviti luar selain memperbanyakkan minum air masak.

Dalam masa sama, kata beliau, orang ramai juga tidak digalakkan melakukan pembakaran jerami dengan skala yang besar pada masa ini kerana dikhuatiri api mudah merebak.

Sementara itu, penduduk di negeri ini kebanyakkannya tidak melakukan aktiviti luar sehingga waktu petang.

Manakala pada waktu malam, orang ramai dilihat mula keluar rumah dan memenuhi kedai-kedai makan kerana pada masa itu suasana lebih sejuk dan nyaman.

Suhu minimum dicatatkan di Perlis pada waktu malam dan awal pagi ialah sekitar 28 sehingga 24 darjah Selsius.

Seorang petani, Fauzi Mustafa, 34, berkata, cuaca panas di Perlis sekitar Januari sehingga Mac bukan sesuatu yang luar biasa sebaliknya sudah sinonim dengan rakyat di negeri ini.

"Pada waktu ini, saya banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya keluar pada waktu malam. Kerja-kerja bertani selalunya dilakukan pada waktu pagi sahaja," katanya.- UTUSAN ONLINE