Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, sasaran tersebut bukan sahaja yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam atau swasta, malah golongan yang mengikuti latihan kemahiran peringkat ter­tinggi.

Justeru, bagi memastikan hasrat tersebut tercapai, beliau meminta pihak pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bekerjasama erat memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam bidang pendidikan.

“Bagi kawasan Parlimen Pontian, kita menyasarkan program itu diperkasakan lagi agar setiap keluarga sekurang-kurangnya mempunyai seorang graduan sama ada di universiti mahupun institusi latihan kemahiran aras tinggi,” katanya pada Majlis Penyam­paian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, dekat sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi PIBG SMK Ayer Baloi, Salehon Sengot dan Pengetua sekolah berkenaan, Ismail Rosdi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri meminta supaya ibu bapa mencontohi golongan dahulu yang berjaya mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta walaupun tidak tahu menulis dan membaca.

“Kesungguhan mereka mendidik anak-anak walaupun dalam serba kekurangan telah berjaya mengubah nasib mereka yang sebelum ini hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.

“Saya berharap kerjasama antara PIBG, Kumpulan Soko­ngan Ibu Bapa (KSIB) dan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) mampu diterjemahkan bagi merealisasikan harapan itu,” katanya.