Roslee Daud

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata, bagi tahun kedua ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan mencecah RM1.6 juta bagi meneruskan program yang yang mendapat sambutan amat menggalakkan tahun lalu.

Menurut beliau, program ini bagi meringankan beban pasang­an dan keluarga terutama yang berpendapatan kecil di samping mempermudahkan urusan dalam melangkah ke fasa baharu kehidupan dan akan diadakan serentak di setiap daerah pada tarikh tersebut.

Katanya, dengan peruntukan yang meningkat sekali ganda itu akan dapat melibatkan lebih ba­nyak penyertaan berbanding hanya 217 pasangan tahun lalu.

“Setiap daerah akan melibatkan 60 pasangan dan borang penyer­taan program ber­kenaan dibuka mulai hari ini secara online melalui portal Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sehingga 16 Julai depan.

“Dengan peruntukan tambahan itu, ia akan dapat membantu lebih banyak pasangan yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga memandangkan bebanan kos majlis perkahwinan yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Ya­yasan Pembangunan Keluarga Te­rengganu (YPKT), Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Beliau berkata, pada tahun ini kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan peringkat umur pemohon kepada lingkungan 18 tahun hingga 35 tahun berban­ding 30 tahun pada tahun lepas.

“Begitu juga dengan pendapatan pasangan dikurangkan kepada RM3,000 berbanding RM3,500 manakala pendapatan ibu bapa pemohon dikekalkan RM5,000 ke bawah,” ujarnya.

Roslee berkata, selain majlis perkahwinan mereka ditaja, pasang­an juga akan turut menikmati pelbagai kemudahan lain yang disediakan termasuk Pakej Bulan Madu.

“Setiap pasangan hanya perlu menyediakan mas kahwin, wali dan saksi manakala pakaian, jurunikah, tempat akad dan urusan berkaitan diuruskan oleh pihak YPKT,” ujarnya.

Beliau menambah, selain itu setiap pasangan juga akan diberikan Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1,000 yang akan diambil daripada bayaran komitmen yang dijelaskan setiap pasangan setelah permohonan mereka berjaya.

“Bayaran komitmen adalah sebagai tanda pasangan bersetuju untuk menyertai program berkenaan yang akan dipulangkan se­mula kepada mereka dalam bentuk SSP,” ujarnya.