MAHDZIR KHALID
MAHDZIR KHALID

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu perlu bagi memastikan gajah liar tidak menceroboh kawasan dusun buah-buahan dan getah yang diusahakan penduduk di kawasan pinggir hutan itu.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Hulu, Kampung Seberang dan Kubang Palas menjadikan kawasan terbabit sebagai tempat mencari rezeki yang merupakan sumber pendapatan utama di kawasan berkenaan.

"Anggota Perhilitan wajar mempunyai jadual rondaan berkala di kawasan hutan itu bagi mengawal pergerakan gajah liar selain menjamin keselamatan penduduk yang mengusahakan dusun buah-buhan dan getah di hutan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pemilik dusun maut akibat dipijak seekor gajah liar yang mengamuk di sebuah dusun buah-buahan berhampiran kawasan pinggir hutan di Kampung Kah Ing, Padang Sanai di sini kelmarin.

Kejadian kira-kira pada pukul 6.30 petang itu menyebabkan mangsa, Mat Juhid Osman, 49, dari Kampung Hulu Padang Sanai Kanan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah tangan kiri.

Mahdzir berkata, masalah gajah liar yang mengganggu penduduk dengan merosakan tanaman di kawasan itu sudah lama berlarutan dan perlu ditangani segera untuk mengelakkan insiden sama berulang selepas ini.

"Penduduk di sekitar kawasan berkenaan juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga keselamatan dan tidak menganggu gajah liar itu apabila terserempak dengan haiwan liar berkenaan untuk mengelakkan tragedi diserang gajah berlaku lagi," katanya.-UTUSAN ONLINE