Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) jabatan itu, Dr. Bah Pian Tan berkata, langkah itu bagi memastikan sumber ikan negara terus mampan dan aktiviti seumpama itu masih boleh dinikmati oleh generasi masa depan secara berterusan.

"Kegiatan perikanan rekreasi di negeri ini sahaja menyumbang sebanyak 260,000 tan metrik bernilai RM120 juta setahun. Jumlah itu, merupakan merupakan enam peratus daripada jumlah pendaratan ikan di Terengganu.

"Jabatan Perikanan perlu terus mengambil pelbagai langkah dalam usaha memastikan supaya sumber ikan tidak terjejas dan dapat memenuhi permintaan bekalan sepanjang masa,"ujarnya.

 Beliau menyatakan demikian ketika berucap semasa menutup pertandingan memancing laut pantai di sini semalam sempena program  prapelancaran Gelombang Nelayan Nasional 2017 (GNN 2017).

Program anjuran Akademi Perikanan Malaysia bersama Pejabat Perikanan negeri dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dengan kerjasama Sukarelawan Perikanan (SUPER) Kampug Batin, Kuala Nerus menarik penglibatan lebih 100 peserta menggunakan 10 buah bot nelayan.

 Perikanan rekreasi merujuk kepada pemancing (dengan kail dan tali) yang melakukan kegiatan menangkap ikan sebagai hobi, bersantai atau bersukan, bukannya  untuk tujuan komersial.

"Pertandingan memancing laut pantai ini diharap dapat menarik minat lebih ramai lagi orang awam dalam mendedahkan mereka kepada kepentingan penjagaan sumber perikanan untuk generasi akan datang.

"Penglibatan orang awam dan nelayan dalam aktiviti rekreasi ini selaras dengan hasrat Jabatan Perikanan untuk mewujudkan peraturan perikanan rekreasi ini."ujarnya.

 Sempena program tersebut,  turut diadakan kursus keselamatan di laut kepada nelayan dan peminat aktiviti itu.-UTUSAN ONLINE