Mastura Mohd. Yazid

Mastura berkata, di bawah program tersebut, beliau mengunjungi sekurang-kurangnya 1,400 rumah untuk beramah mesra dengan ahli keluarga sambil mengambil tahu dan mengenal pasti permasalahan mereka.

Beliau berkata, program bermula sejak 15 September lalu, berjaya menziarahi 144 keluarga yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas, golongan kurang upaya, miskin dan sakit terlantar.

“Dalam sesi ziarah ini, saya temui ada yang hanya bergerak di dalam rumah dengan menggunakan kerusi roda atau terbaring di katil. Selain itu, ada juga yang sakit lutut dan perlu berkunjung ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Saya juga berpeluang mengambil tahu soal pendidikan anak-anak mereka termasuk dari segi ekonomi keluarga serta keperluan kediaman yang perlu diperbaiki,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Antara kampung yang dikunjungi Mastura termasuklah Kampung Talang Hulu, Kampung Talang Hilir, Kampung Talang Masjid, Taman Bunga Raya, Kampung Kepala Bendang, Kampung Bukit Lada dan Kampung Guar.

Dalam pada itu, Mastura berkata, program tersebut turut disertai Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Aishah Khalid bersama jawatankuasa serta ahlinya di peringkat cawangan selain mendapat kerjasama ketua kampung dan ahli Jawatankuasa Ke­selamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Beliau mengakui, pertemuan itu banyak memberi inspirasi baharu kepadanya, khususnya dalam membantu golongan warga emas dan ibu tunggal yang kebanyakannya berdepan masalah kesihatan.

Katanya, sempena ziarah tersebut, beliau juga menyampaikan sedikit buah tangan berupa barangan makanan kepada setiap keluarga sebagai tanda ingatan.