Kehadiran mereka yang kebanyakannya datang bersama keluarga adalah sempena tayangan amal wayang pacak filem J Revolusi yang dibintangi pelakon terkenal tanah air iaitu Zul Ariffin, Fazura, Izara Aishah dan Farid Kamil.

Tayangan amal tersebut yang mendapat sambutan begitu menggalakkan merupakan anjuran Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Filem aksi berdurasi 1 jam 40 minit itu menceritakan tentang kehidupan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan beberapa babak dilakonkan di kawasan kapal korek berkenaan.

Dengan harga tiket bagi dewasa RM10 dan kanak-kanak pula RM5, pengunjung menonton filem tersebut yang dipancarkan melalui skrin besar LED dengan sistem bunyi, sama seperti menonton di pawagam.

Berbekalkan kerusi yang disediakan dan tikar yang dibawa sendiri, pengunjung menonton filem arahan Zulkarnain Azhar itu secara santai selain boleh membeli makanan dan minuman dari gerai yang disediakan.

Lebih meriah lagi apabila tayangan yang bermula pukul 8 malam itu dihadiri sendiri pelakon filem berkenaan iaitu Zul Ariffin.

Yang hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim.

Dalam program itu juga, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menaja tiket tayangan kepada 400 penduduk sekitar kapal korek TT5.

Selain tayangan filem, pengunjung juga berpeluang memenangi beberapa hadiah saguhati menerusi acara cabutan bertuah.

Inisiatif tersebut ternyata mendapat sambutan baik daripada semua pihak dan MB Inc. berhasrat memperluaskan lagi penganjuran program-program seumpama itu di Tanjung Tualang TT5.