Warga emas, Pesah Bidin, 80, yang tinggal bersama anak, menantu serta cucunya berkata, masalah rumahnya yang dimasuki air setiap kali hujan selesai selepas atap rumahnya ditukar.

Pesah berkata, dia tidak mampu untuk membeli zink dan terpaksa membiarkan bahagian atas rumahnya itu dipenuhi air setiap kali hujan.

“Anak hanya bekerja kampung dan pendapatan yang ada hanya cukup untuk perbelanjaan harian kami empat beranak.

“Syukur pada Allah kerana masalah kami yang telah berlanjutan lebih 10 tahun akhirnya mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Lebih manis apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sendiri sudi mengunjungi kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jahang, dekat sini semalam.

Terdahulu, Zambry mengunjungi rumah Pesah yang tinggal bersama anaknya, Shah Erwan Samsudin, 34, isterinya, Zauyah Besana, 40, serta anak mereka Siti Sarah Zarifah berusia lima tahun.

Dalam program Ziarah Kasih sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Kampar dan Batang Padang itu, Zambry turut menyampaikan kad pengenalan dan surat beranak baharu kepada empat beranak tersebut.

Menurut Pesah, selain menggantikan atap yang bocor, kerajaan negeri menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU) turut menggantikan gelegar rumah yang te­lah rosak serta melakukan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran rumahnya.

Sementara itu, Sabariah Mohd. Daud, 83, pula cukup terharu apabila hasratnya ingin memiliki kerusi roda baharu dimakbulkan.

Sambil menepuk-tepuk bahu Zambry, Sabariah yang uzur mengucapkan te­rima kasih atas pemberian ber­kenaan.

“Terima kasih, Alham­dulillah mudah sikit urusan mak cik selepas ini ke­rana kerusi roda yang ada ini telah rosak,” katanya.