Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penduduk di situ juga perlu ada kesedaran untuk bertanggjawab menjaga kawasan persekitaran dibantu oleh semua pihak termasuk wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik serta tidak mengharapkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semata-mata.


“Saya tidak mahu membuat tuduhan di peringkat ini tentang siapa yang bersalah apabila flat ini sudah menjadi seperti tempat pembuangan dan penuh dengan timbunan sampah-sarap.


“Saya faham bahawa flat ini adalah kawasan persendirian tetapi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melihat kawasan-kawasan seperti ini kerana kesannya juga melibatkan pada masyarakat sekeliling,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas turun padang pada sesi gotong-royong membersihkan flat berkenaan di sini hari ini.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Datuk Bandar,  Datuk Zamri Man.


Flat Taman Pertama yang mempunyai 280 unit kediaman, kini didiami oleh 127 penghuni dengan sebahagian besarnya merupakan rumah kosong.


Selain masalah sampah sarap, flat tersebut juga dikatakan sering menjadi sarang aktiviti penagihan dadah dan jenayah kecurian. - UTUSAN ONLINE