Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, amalan kerja sedemikian terbukti berjaya apabila Perak mencapai pelbagai kejayaan sehingga menjadi model pentadbiran di peringkat nasional.

Menurutnya, kakitangan awam negeri ini telah menunjukkan pencapaian amat baik dari segi pembangunan negeri dan kaedah pentadbirannya.

“Kaedah pentadbiran Perak dilihat antara contoh terbaik dari segi pencapaiannya sehingga pengiktirafan diberikan oleh Jabatan Audit manakala kementerian tertentu menggunakan modul yang digunakan oleh negeri ini,” katanya dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Zambry berkata, pengiktirafan yang diterima itu merupakan terjemahan daripada dasar yang baik diamalkan oleh kerajaan negeri.

“Kecemerlangan yang kita kecapi hari ini kerana kita berjaya membentuk satu pasukan amat baik,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 112 kakitangan dan pegawai menerima penghargaan sebagai Modal Insan Cemerlang antaranya dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewa­ngan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Mufti Perak.

Sementara itu, Abdul Puhat berkata, pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mendapat pengiktirafan Lima Bintang dalam indeks penarafan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan.