Ahmad Faizal menjelaskan, beliau sebenarnya telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bagi menarik balik usul berkenaan sebelum Sidang DUN bermula pada 27 November lalu.

“Walaupun sebelum itu saya pernah menulis surat kepada Speaker untuk mengusulkan supaya ia dibahaskan di dalam dewan, namun, apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan menolak ICERD, jadi, kita kerajaan negeri mengambil pendirian sama.

“Oleh itu, tiada sebab untuk kita bahas dan membawanya ke dalam dewan kerana pendirian Kerajaan Persekutuan itu sudah jelas. Semalam, ada kesilapan teknikal dan ianya tidak dipanjangkan kepada Speaker,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan usul ICERD oleh Koo Ham dalam Sidang DUN semalam, selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE