Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Raja Abdul Jalil Raja Zaid, berkata, projek tersebut melibatkan Kampung Orang Asli Sungai Choh, Ulu Kinta melibatkan kos RM2.711 juta, Kampung Sadang Camp di Mukim Belanja (RM583,258) dan Kampung Sungai Chawang di Changkat Jong dengan kos RM909,665.

Turut terlibat ialah Kampung Tersusun Bikam di Mukim Sungkai dengan kos RM322,789, Perkampungan Orang Asli Pecah Batu di Sungai Jurong Slim Village (RM1,132,910), Kampung Matang 36 di Kerian (RM136,000) dan Ulu Kampar di Teja melibatkan kos terbesar iaitu RM5,286,612.

“Daripada tujuh projek tersebut, enam daripadanya telah siap seratus peratus manakala hanya projek di Kampung Sadang Camp sahaja masih berjalan dan kerja-kerja dilakukan kini 50 peratus siap.

“Kita jangkakan kerja-kerja berkenaan dijangka siap tidak lama lagi,” katanya selepas program lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ke tapak projek BELB di Kampung Baru Sungai Chawang, dekat sini semalam.

Program lawatan itu adalah sempena pemukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak yang bermula kelmarin hingga Sabtu ini.

Kampung tersebut dihuni 22 keluarga telah hampir 40 tahun tiada bekalan elektrik sebelum perkhidmatan tersebut disalurkan oleh TNB secara rasmi pada 15 April lalu.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan kementerian tersebut, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengerusi Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin.

Sementara itu, mengulas me­ngenai projek BELB di Kampung Baru Sungai Chawang tersebut, Raja Abdul Jalil berkata, pihak TNB Energy Services Sdn. Bhd. telah memulakan kerja tapak pada 1 Jun tahun lalu.

Beliau berkata, kerja-kerja pem­binaan pencawang elektrik dan talian voltan rendah pula siap pada 29 September tahun lalu, manakala pada 12 April lalu, sistem talian voltan tinggi di­siapkan, dimulakan tugas dan disambung pada grid.

“Pemasangan meter pula dibuat oleh TNB pada 15 April lalu di rumah kediaman penduduk Kampung Baru Sungai Chawang ini.

“Alhamdulilah, penantian penduduk selama 40 tahun untuk mendapat bekalan elektrik akhir­nya termakbul,” katanya.