Program yang merupakan salah satu inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat TNB itu menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakai­an sekolah, beg dan alat tulis bernilai RM200.

Di kawasan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Chenderiang di sini semalam, seramai 200 pelajar berusia antara lapan hing­ga 14 tahun menerima man­faat daripada program yang di­kelolakan oleh TNB itu.

Mereka adalah murid-murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Kelana, SK Kampung Pahang, SK Batu 7 dan SK Pos Musoh.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Pegawai Khas Kanan kepada Menteri Besar Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd. Salleh di SK Datuk Kelana di sini.

TNB dalam kenyataannya berkata, penerima bantuan itu adalah sebahagian daripada 5,000 murid yang telah dikenal pasti di seluruh Semenanjung dan Sabah untuk menerima sumbangan sama.

Katanya, sumbangan itu bagi meringankan beban disebabkan kesempitan hidup keluarga masing-masing apabila bermula sesi baharu persekolahan awal Januari depan.

“TNB meneruskan lagi program ini untuk tahun keenam berturut-turut dan ia merupakan sebahagian agenda besar TNB dalam bidang pendidikan terutamanya untuk golongan kurang berkemampuan.

“Nilainya mungkin kecil un­tuk sesetengah keluarga, namun amat besar maknanya ke­pada ibu bapa penerima bantuan keperluan persekolahan ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sejak diperkenalkan pada tahun 2013, lebih 25,000 murid mendapat manfaat program berkenaan.

“Ini adalah satu daripada pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial kami dalam bidang pendidikan,” katanya.