Dalam kejadian berlaku pukul 11.30 pagi kira-kira 29 batu nautika dari barat daya Teluk Intan, lima tekong termasuk awak-awak berjaya diselamatkan hasil rundingan dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Indonesia (APMI) bagi melepaskan bot tersebut.

Asisten Ketua Staf Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM, Kepten Azman Rabani berkata, pihaknya menerima maklumat melalui aplikasi K3M yang memaklumkan bot nelayan tempatan dari Hutan Melintang dikejar oleh kapal APMI kerana menangkap ikan di kawasan berdekatan sempadan Indonesia.

Beliau berkata, ekoran laporan itu, pihak TLDM telah mengarahkan KD Jerai ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan sewajarnya.

“Pada pukul 11.36 pagi, bot nelayan tempatan itu telah ditahan oleh kapal APMI untuk pemeriksaan dokumen. Namun, pada masa sama, pihak TLDM dan Maritim Malaysia telah melakukan rundingan dengan pihak Indonesia untuk melepaskan bot berkenaan.

“Bagaimanapun, pada pukul 11.45 pagi, APMI telah menunda bot nelayan tempatan itu menuju ke perairan Indonesia, namun hasil rundingan yang dilaksanakan, bot tersebut telah dilepaskan.

“Tkong bot telah dinasihatkan supaya tidak menangkap ikan di kawasan berdekatan sempadan Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE