Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, ini kerana kes pecah rumah kerap kali terjadi apabila rumah kosong kerana penghuninya yang bercuti pada musim perayaan dan cuti persekolahan yang panjang.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodi­ti berkata, dalam masa sama, mereka yang bercuti panjang dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis.

Beliau berkata, butiran pen­ting seperti alamat dan tempoh percutian perlu dimaklumkan untuk membolehkan polis me­ningkatkan rondaan keselamatan di kawasan rumah yang terlibat.

“Isu keselamatan awam merupakan aspek penting bagi semua warga Teluk Intan seperti yang sering dibangkitkan dalam sesi perjumpaan bersama penduduk.

“Saya berharap polis memberi lebih perhatian dalam menjamin dan meningkatkan tahap keselamatan awam di Teluk Intan dan Daerah Hilir Perak sepanjang musim cuti Tahun Baharu Cina,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Siew Keong turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar.

Sementara itu, info cuti boleh dimaklumkan kepada pihak polis melalui aplikasi mobil VSP yang boleh dimuat turun dari Play-Store ataupun dengan mengisi borang Maklumat Balik Kampung yang boleh dimuat turun di portal rasmi Polis Diraja Malaysia (http://www.rmp.gov.my/).