Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berburu bersama tiga rakannya dengan menggunakan senapang patah buatan sendiri.

Beliau berkata, sewaktu aktiviti pemburuan tersebut, keempat-empat mereka telah berpecah di dalam hutan dan salah seorang rakan mangsa telah menyangkakan seekor kijang sebelum melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian terhadap mangsa.

“Susulan kejadian penemuan mayat ini, pihak JSJ telah menubuhkan satu pasukan khas. Suspek ditahan pada pukul 9.30 pagi semalam terdiri daripada lelaki berusia 20-an dan seorang lelaki berumur 65 tahun yang memberikan peluru tetapi memiliki lesen senjata api.

“Tiga suspek tersebut yang disoal siasat petang ini, juga telah menunjukkan selaras senapang yang digunakan dalam kejadian ini,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama lima hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE