Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, jika benar ada exco dari parti itu yang akan ditukarkan seperti mana yang didakwa, sudah tentu perkara itu akan dibincangkan.

Kah Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu diadakan.

“Semua itu (dakwaan exco DAP ditukar) hanya khabar angin sahaja dan bagi DAP Perak jika ada pertukaran, kita akan bincang dengan Menteri Besar.

“Namun tiada cadangan pertukaran tersebut dan kami yakin dengan prestasi exco kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan peruntukan RM100,000 untuk kerja menurap jalan di penempatan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 di Sungai Senam di sini hari ini.

Kah Woh mengulas laporan portal berita Malaysiakini yang mendakwa rombakan exco kerajaan Perak timbul lagi kali ini melibatkan wakil rakyat DAP, Dr. Abdul Aziz Bari yang memegang portfolio Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar.

Abdul Aziz dikatakan akan digantikan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. - UTUSAN ONLINE