Pengerusinya, R. Sivalingam berkata, rumah kebajikan yang diasaskan pada tahun 1968 itu mempunyai 47 orang penghuni berusia dalam lingkungan antara 15 hingga 60 tahun dan mereka asalnya merupakan kanak-kanak yang ditinggalkan dengan memiliki pelbagai jenis kecacatan.

“Demi untuk menjaga keselamatan, kami harus mengasingkan mereka. Jika tidak, mereka boleh mencederakan atau mengganggu antara satu sama lain. Mereka boleh menarik atau menggigit kerana mengalami masalah mental.

“Jika anda mempunyai sebarang idea untuk menambah baik situasi di rumah kebajikan ini, pihak kami amat mengalu-alukan pandangan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai penyebaran gambar di rumah kebajikan berkenaan yang diambil secara curi-curi oleh salah seorang pelawat menerusi sebuah tingkap dan kemudian diviralkan di laman sosial dengan memperlihatkan seolah-olah dua kanak-kanak dikurung dalam kandang serta didakwa diperlakukan seperti anjing.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) negeri, Rosmawati Ishak turut hadir bagi melihat sendiri situasi sebenar di rumah kebajikan tersebut.

Dalam pada itu, Rusnah berkata, perkara yang diviralkan itu adalah tidak benar sama sekali, namun mengakui terdapat ruang penambahbaikan untuk rumah kebajikan tersebut.

“Mungkin ada juga bau kencing tetapi saya difahamkan kesemua penghuni di sini memakai lampin pakai buang dan ada sesetengah itu tidak terkawal, jadi sudah tentu bukan mudah untuk menjaga orang kurang upaya (OKU) di sini.

“Namun begitu, kejadian ini merupakan yang pertama kali dilaporkan melibatkan rumah kebajikan ini,” katanya.

Sementara itu, Rosmawati pula mengesahkan, lesen pendaftaran rumah kebajikan itu baru sahaja disambung untuk tempoh lima tahun akan datang pada 21 September lalu setelah memenuhi kesemua perakuan teknikal daripada Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT). - UTUSAN ONLINE