Program yang diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2017 itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik dengan penuh warna-warni yang mampu menggamit nostalgia era retro kepada pengunjung.

Hilal dalam satu kenyataan berkata, TSOTM bukan sahaja mengimbau kenangan zaman 70-an malah turut membolehkan pengunjung menyertai acara yang diadakan seperti membawa pot luck dan berkelah bersama keluarga atau sahabat dengan memakai pakaian retro.

“Untuk menambahkan lebih ‘rasa’ dalam TSOTM, pengunjung akan dihidangkan dengan halwa telinga seperti persembahan lagu-lagu retro serta sketsa mengenai pelabagai memori di Taiping pada suatu ketika dahulu.

“Selain itu, TSOTM turut menampilkan persembahan istimewa daripada Mazidah Mansor serta Mohammad Rafi Junior yang diterbangkan khas dari India dan beliau akan menyanyikan lagu-lagu Hindustan pada era tersebut,” katanya yang juga merupakan Pengarah Program TSOTM.

Mengulas lanjut tentang program itu, pengunjung juga berpeluang memenangi semburan wangian jenama Blackout Vintage Edition yang berharga RM150 bagi setiap satunya melalui cabutan bertuah yang disediakan.

“Semburan wangian yang menterjemahkan aroma Vintage, Retro, Nostalgia, Memory dan 60- an itu ditaja khas syarikat Kasturi Emas bagi menghangatkan TSOTM sepanjang tempoh penganjurannya.

“TSOTM dibuka kepada umum dan pengunjung berpeluang bertemu dengan lima pemenang pertandingan gambar retro yang juga diangkat sebagai duta produk semburan wangian Blackout Vintage Edition,” ujar Hilal. - UTUSAN ONLINE