SHAHRUL ZAMAN YAHYA
SHAHRUL ZAMAN YAHYA

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya (gambar) berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak sepatutnya mengambil pendekatan menangguhkan projek-projek yang berada di bawah 15 peratus kemajuannya sebaliknya perlu dilihat kepentingannya secara satu persatu.

“Kita harap penduduk di Bagan Datuk tidak dianaktirikan kerana kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen Bagan Datuk dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

“Jangan disebabkan itu, rakyat Bagan Datuk dijadikan mangsa kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ialah Presiden UMNO dan Ketua Pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini selepas bertanyakan soalan lisan mengenai status pelaksanaan Bagan Datuk Water City (BDWC).

Bagan Datuk Water City ialah projek pembangunan bercampur seluas 1,659 hektar yang bakal mewujudkan satu perbandaran bagi menyokong pembangunan Perak Heavy Industrial Park (PHIP) di Bagan Datuk selaku daerah baharu di nege­ri ini.

Antara 15 projek insitusi kerajaan yang telah dirancang untuk dibangunkan sebelum ini terma­suklah kompleks pentadbi­ran negeri, projek perumahan rakyat (PPR), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dan klinik kesihatan daerah.

Shahrul Zaman ber­kata, pembinaan klinik kesihatan daerah amat penting ekoran kedudukan geografi Bagan Datuk yang jauh dari Teluk Intan.

Katanya, Bagan Datuk juga mempunyai kedudukan strategik untuk pembangunan PHIP dise­babkan ia mempunyai kedalaman air 30 meter, hanya dua kilometer dari pesisir pantai dan sesuai untuk pelabuhan laut dalam.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan, Pengerusi Jawatankuasa Pe­la­buran, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, status pembinaan kompleks pentadbiran negeri masih diteruskan sementara projek IPD ditangguhkan.

Beliau berkata, bagi projek PPR pula, ia dalam peringkat mendapatkan keputusan pihak pengurusan tertinggi berhubung status pelaksanaan.

“Kesemua projek-projek ini termasuk pembangunan infrastruktur oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) adalah di bawah pembiayaan kerajaan Persekutuan. Peruntukan bajet telah dikemukakan oleh PKNP melalui Pihak Berkuasa Pelaksa­naan Koridor Utara (NCIA) kepada kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

“Walau bagaimanapun, pihak PKNP telah dimaklumkan oleh NCIA pada 9 Julai lalu bahawa cadangan peruntukan bagi kerja-kerja pembinaan infrastruktur di BDWC telah ditangguhkan,” katanya.