Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beberapa perundingan telah dijalankan pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta ejen jualan tiket yang terlibat.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada sebarang ketetapan yang dibuat berhubung perkara tersebut.

“Apabila kita mahu adakan terminal baharu atau sebagainya, ia perlu dibawa kepada perbincangan Kementerian Pe­ngangkutan dan agensinya, APAD. Kerajaan negeri dan pejabat saya sendiri telah pun mengadakan beberapa perun­dingan bersama agensi itu.

“Namun belum ada kepastian tentang perkara tersebut tetapi kita mahu bawa ia ke perbinca­ngan bersama ejen-ejen bagi menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Perwakilan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (Imami) 2019/2021 di Dewan Seri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini semalam.

Cadangan agar bangunan Silveritage dijadikan sebagai terminal bas baharu timbul selepas 43 kaunter jualan tiket di Terminal Amanjaya diarahkan menu­tup operasi susulan pelaksana­an sistem jualan tiket berpusat (CTS) bagi menggantikan jualan tiket bas menggunakan ejen.

Arahan menutup operasi yang menjejaskan lebih 200 ejen jualan tiket itu sepatutnya bermula 8 Mac lalu namun telah ditangguhkan sehingga 31 Mac ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri bersedia menganugerahkan semu­la tanah di Batu Gajah untuk dibangunkan sebagai pusat aktiviti masyarakat Mandailing.

Menurut beliau, tapak itu sebelum ini pernah diberikan kepada mereka, namun diambil semula oleh kerajaan kerana tidak mampu membayar premium pemilikan tanah.

“Bagaimanapun, dari segi keluasan, kita tidak pasti tetapi kita akan beri sama atau lebih dan ia tidak akan kurang (daripada keluasan tapak asal),” katanya.