Mereka yang lengkap bersenjata serta muka diconteng sebagai taktik penyamaran dilihat bergerak secara berhati-hati bagi mengelakkan daripada dikesan oleh ‘musuh’.

Ruang angkasa Changkat Lada yang lazimnya tenang tiba-tiba bertukar bingit dengan deruman enjin enam pesawat yang berlegar-legar sebelum ‘memuntahkan’ ratusan anggota tentera yang kemudiannya mendarat di hampir segenap ceruk bendang di lokasi berkenaan sekali gus menjadikan kawasan itu seperti medan perang.

Pasukan itu kemudian berge­rak ke lokasi lain bagi mematahkan ancaman ‘musuh’ dan seterusnya menawan beberapa kawasan penting sepanjang laluan Kampung Gajah-Ipoh.

Rata-rata penduduk yang melihat situasi itu dilihat cemas malah ada di antara mereka yang agak kelam-kabut dan berpatah balik ke rumah masing-masing.

Walau bagaimanapun, mereka akhirnya lega setelah mengetahui bahawa senario pertempuran yang dilihat itu adalah pelaksa­naan Eksesais Gerak Pantas siri 24/2018 dan latihan terjun melibatkan 330 pegawai dan anggota 10 Briged Para yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

Eksesais itu dilaksanakan di beberapa lokasi di Kampung Gajah, Seberang Perak selama tiga hari mulai 18 Julai lalu.

Penerjunan itu diketuai Pegawai Memerintah 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para, Leftenan Kolonel Anwar Zamani Jusop dan turut disertai Panglima 10 Briged Para, Brigedier Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan menyaksikan latihan tersebut.

Terdahulu, baginda berangkat tiba di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lada 3 dengan menaiki helikopter Augusta dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor sebelum ke lokasi latihan menaiki kenderaan Tentera Darat.

Turut menyaksikan latihan ber­kenaan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md. Delin; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jene­ral Datuk Mohd. Ramli Jaafar dan Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaafar.

Sementara itu, Tengku Muhammad Fauzi berkata, eksesais dwitahunan tersebut dilaksa­­nakan secara bersama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Markas Pasifik Tentera Udara Amerika Syarikat (PACAF).

“Eksesais ini bertujuan me­nguji keupayaan tempur Briged Para bersama pasukan afiliasi yang membantu serta menilai aspek perancangan dan persiapan anggota di peringkat batalion serta briged.

“Latihan juga adalah acara kemuncak untuk menguji aksi terjunan setiap anggota 10 Briged Para selain turut menguji elemen taktikal dan kemahiran masing-masing,” katanya selepas menyaksikan eksesais berkenaan.

Beliau menambah, semua pesawat terbabit berlepas dari Pangkalan TUDM Subang dan terbang pada ketinggian antara 243 hingga 365 meter sebelum anggota-anggota 10 Briged Para melakukan aksi penerjunan.