Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, ketika ini, perkara itu masih berada di peringkat cadangan dan pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi (telko) termasuk rakan kongsi.

Beliau berkata, perbincangan awal bagaimanapun telah pun dimulakan bersama syarikat telko dan ia bakal disusuli dengan lawatan tapak ke kawasan berkenaan.

“Perkara ini sangat penting kerana saya difahamkan kemudahan teknologi 5G ini telah dimulakan di Putrajaya.

“Mungkin di Perak, saya akan lancarkan dahulu di kawasan Meru Raya dalam tempoh tiga ke empat bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran portal Perak Digital, sistem permohonan dana NGO atas talian serta Kursus Teknologi Maklumat (ICT) Rakyat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata, bagi penyediaan kemudahan teknologi 5G, lebih banyak menara telekomunikasi bersaiz kecil akan didirikan dengan jarak lebih dekat bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada talian tersebut.

Sehubungan itu katanya, rakyat harus difahamkan bahawa pembinaan menara itu tidak memberikan kesan radiasi yang sangat besar terhadap orang awam.

“Kalau teknologi 4G sebelum ini, jarak menara telekomunikasi itu antara satu ke dua kilometer tetapi bagi teknologi 5G, ia antara 300 ke 500 meter.

“Oleh itu, kalau banyak sangat bantahan, ia akan menyukarkan kerajaan negeri untuk lebih maju ke hadapan dalam penyediaan talian 5G,” katanya. - UTUSAN ONLINE