Program pertama anjuran Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) melalui Pusat Tahfiz Integrasi An-Nur di sini baru-baru ini disertai 50 peserta terdiri daripada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lalu dari seluruh negeri.

Pengarah program, Dr. Siti Syairah Hanafia berkata, program tersebut merupakan inisiatif pihaknya untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bakal mempunyai kerjaya terbaik pada masa hadapan malah mampu menghafaz al-Quran.

Beliau yang juga Penasihat Utama YDKMM memberitahu, teknik hafazan An-Nur yang merupakan cetusan ideanya sendiri menggabungkan konsep tadabbur (mengkaji) dan bayangan bagi membantu para peserta menghafaz al-Quran dalam masa singkat.

“Usaha kita di sini adalah menekankan hafazan al-Quran dengan menghayati isi kandungan selain mengamalkannya dan pada masa sama, kami turut menyasarkan peserta dapat menghafaz sekurang-kurangnya 20 juzuk al-Quran.

“Ini adalah pendedahan dan bekalan mereka kerana apa yang kita mahu adalah ilmu yang sama rata untuk dunia dan akhirat,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di Tanjung Kepah, Lekir di sini.

Siti Syairah berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga menyebabkan hanya 50 peserta terbaik sahaja diterima mengikuti program berkenaan berbanding sebanyak 150 permohonan yang dikemukakan.

“Kami menetapkan syarat utama memperolehi 6A dalam keputusan percubaan peperiksaan serta mempunyai asas hafazan dua juzuk,” ujarnya.

Menurut beliau, peserta dibahagikan kepada lima halaqah atau kumpulan yang dibimbing seorang ustaz atau ustazah dalam setiap kumpulan manakala peserta lelaki dan perempuan menjalani hafazan secara berasingan.

“Dalam tempoh program ini, setiap Isnin sehingga Sabtu adalah masa untuk mereka menghafaz serta mengulang hafazan manakala Ahad adalah hari untuk slot aktiviti seperti kelas bahasa Inggeris, kemahiran insani dan program neuro-linguistik (NLP),” jelasnya.

Siti Syairah berkata, program yang dijalankan bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Mac ini juga adalah sebagai persediaan awal sebelum peserta memasuki universiti dan pusat pengajian tinggi yang lain.

“Apabila mereka diasah menguasai al-Quran terlebih dahulu, otak mereka lebih mudah menerima ilmu lain kerana al-Quran adalah kunci segala ilmu,” katanya.