Bertempat di Panggung Budaya UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pementasan tersebut merupakan sebahagian daripada Penilaian Tahun Akhir Seni Persembahan (Pentas) untuk melengkapkan pengajian mereka.

Pengurus produksinya, Nur Ain Mohammad Shariff berkata, teater tersebut mengisahkan seorang gadis cantik dan jujur yang menjadi hamba kepada ibu serta dua kakak tirinya selepas kematian ibu dan ayah kandung.

“Kisah Cinderella dipentaskan bagi menyelitkan unsur pendidikan dan juga hiburan secara terus dan mudah.

“Konsep yang dipilih bagi pementasan teater ini berlatarbelakangkan fantasi,” katanya di sini.

Menurut Nur Ain, keunikan teater Cinderella kali ini terletak pada selitan unsur-unsur tradisi masyarakat Melayu termasuk paparan seni silat, Mak Yong serta beberapa pergerakan krea­tif lain.

Tambah beliau, seni ukiran Melayu seperti motif pucuk rebung juga dapat dilihat pada set yang dibina di tiang, latar belakang serta tangga istana.