Ia dilaksanakan di bawah Projek Tanaman Cendawan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 8 iaitu kerjasama antara Jabatan Pertanian negeri dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bermula dua tahun lalu.

Mereka yang terlibat mengusa­hakan tanaman tersebut terdiri daripada Ahmad Shafuddin Ramli, 47; Suhaimi Yassin, 45; Azami Md. Daud, 46, dan Azmi Shaari, 44, manakala Abdul Razak Abdul Malik, 46, pula sebagai ketua projek tanaman tersebut.

Menurut Azami, dia dan empat rakan lain adalah pesara TLDM yang diberi peluang untuk me­ng­­usahakan tanaman cendawan se­bagai sumber pendapatan sam­pingan selepas menamatkan per­­khidmatan.

Katanya, projek tanaman yang dilaksanakan mempunyai dua pilihan iaitu cili fertigasi dan cen­dawan tiram bagi melatih serta mendedahkan anggota dan keluarga tentera dalam bidang yang mampu menjana pendapatan.

Jelasnya, hasilnya sangat memberangsangkan dan pulangan juga lumayan biarpun pengurusan ta­naman cendawan tiram agak sukar kerana ia sensitif terutama membabitkan kebersihan yang tinggi dan mencabar dengan serangan kulat hijau.

“Sebelum ini ada beberapa rakan lain yang turut bersama namun atas komitmen lain hanya tinggal kami berlima sahaja meneruskan projek ini,” katanya ketika ditemui di tapak projek di Pangkalan TLDM Lumut, di sini baru-baru ini.

Kata Azami, usaha itu membantu pesara sepertinya menambah pendapatan.

“Ketika ini saya dan rakan-rakan menurunkan ilmu tanaman kepada anggota yang sedang menjalani peralihan sebelum menamatkan perkhidmatan tidak lama lagi,” katanya.

Seorang lagi peserta, Azmi berkata, tapak yang disediakan pihak TLDM itu mempunyai 20 rumah cendawan.

Katanya, mereka bekerja de­ngan konsep kerjasama dan saling membantu dengan membahagi-bahagikan tugas supaya kerja menjadi lebih mudah.

Jelasnya, permintaan untuk tanaman itu sangat menggalakkan sehingga ada kalanya sukar dipenuhi kerana cendawan kini merupakan salah satu makanan yang semakin popular.

“Cendawan amat digemari da­lam hidangan masyarakat negara ini kerana mempunyai rasa serta keenakan tersendiri berbeza dengan sayuran lain.

“Cendawan biasanya sedap digoreng dengan tepung, dibuat sup, tomyam atau rendang,” katanya.

Tambah Azmi, setiap rumah cendawan boleh memuatkan 1,500 beg media atau bongkah dan pengeluaran hasil pula tujuh atau lapan kali dengan jangka hayat tiga bulan.

Menurutnya, cenda­wan tiram kaya dengan pelbagai kebaikan untuk kesihatan.

“Dengan bimbingan dan bantuan mesin khas dari Jabatan Pertanian kami berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman,” katanya.