Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, tanah berkenaan telah diluluskan 10 tahun lalu kepada syarikat tersebut bagi tujuan pendidikan iaitu mewujudkan sebuah universiti swasta, namun sehingga kini tiada sebarang pembangunan dibuat.

Ahmad Faizal berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan masalah itu dan akan berbincang dengan syarikat tersebut untuk membantu membangunkannya seperti dirancang.

“Kelulusan tanah ini kepada syarikat itu telah diluluskan pada 30 Januari 2008 untuk pegangan selama lima tahun, daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Namun, apabila berlaku peralihan kuasa, pada September 2008, tempoh pegangan ini dilanjutkan dari lima tahun ke 99 tahun dengan syarat tambahan mesti dimajukan dalam tempoh 24 bulan selepas didaftarkan pada 8 April 2010.

“Apabila berlaku sekali lagi peralihan kuasa, kerajaan meneruskan pegangan hak milik kepada syarikat itu pada 20 Ogos 2014, tetapi syarikat itu masih gagal membangunkan tanah itu. Justeru kerajaan kini terpaksa mengambil beberapa tindakan," katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Sidang DUN Perak Ke-14, di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (DAP-Aulong), Ahmad Faizal berkata, kawasan itu yang belum dibangunkan kini diteroka secara haram menerusi penanaman kelapa sawit yang sudah berusia 10 tahun serta tanaman dusun.

“Kerajaan mempunyai pilihan merampas semula hak milik tanah selepas syarikat itu gagal membayar cukai sehingga kini.

“Tetapi ia hanya boleh dilakukan oleh kerajaan pada Mei 2019 selepas segala proses seperti notis amaran dikeluarkan,” katanya.