Pusat pendidikan yang baru dibuka itu telah menerima seramai 22 pelajar tingkatan satu yang melibatkan anak-anak yatim serta miskin tegar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pembukaan sekolah berkenaan adalah hasil usaha kreatif daripada pihak yayasan serta dengan bantuan dan sumbangan pelbagai pihak.

Menurut beliau, pembelajaran di sekolah itu menggunakan sistem International Cambridge Ge­neral Secondry Education (ICGSE), tahfiz al-Quran serta bahasa Mela­yu, Inggeris, Arab dan Mandarin.

“Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan generasi terbaik yang bukan sahaja mahir dalam al-Quran malah dalam pelbagai bidang,” katanya ketika ditemui semasa melawat sekolah berkenaan di Padang Tembak, Teluk Muruh di sini hari ini.

Zambry berkata, Bayt al-Ikhlas diseliakan sepenuhnya oleh Yayasan Nur Ikhlas bagi membantu anak yatim dan miskin tegar mendapat pendidikan terbaik.

Menurut beliau, para pelajar berpeluang mendapatkan pendidikan kelas pertama kerana ia meliputi pendidikan al-Quran, akademik dan juga bahasa.

Katanya, pemilihan pelajar di­buat oleh jawatankuasa yang dilantik dan bukan hanya pelajar yang benar-benar cemerlang dari segi akademik dipilih tapi harus memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Mungkin sekolah ini boleh menjadi contoh kepada kawasan lain dalam usaha melahirkan insan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengelola Bayt al-Ikhlas, Datuk Mohd Azmi Othman berkata, bangunan yang dibina di kawasan seluas 0.8 hektar melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

Menurut beliau, pengambilan pelajar hanya untuk anak negeri Perak sahaja dan pada pengambilan pertama ia melibatkan seramai 22 pelajar tingkatan satu.

“Pihak yayasan menanggung sepenuhnya pengajian mereka di sini dan pemilihan pelajar turut dibantu oleh Jabatan Pendidikan Perak,” katanya.