Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan disambut Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham.

Turut menyambut keberangkatan baginda berdua ialah Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak dengan iringan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Kedah dipimpin Inspektor Mohd. Noor Effendi Mohd. Yusuf dan dibantu oleh Sarjan Mejar Abdul Rashid Abdullah.

Sultan Nazrin kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Kem Ulu Kinta yang diketuai Deputi Superintenden Muhamad Nazri Ramlee.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Nazrin diiringi ke Bilik Diraja sebelum menyampaikan titah ucapan perasmian.

Persidangan Dewan Undangan Negeri berlangsung selama enam hari bermula hari ini hingga 13 Ogos ini. -UTUSAN ONLINE