Mereka memberitahu, jualan produk masing-masing bertambah hampir tiga kali ganda ber­ikutan kehadiran pengunjung yang ramai ke beberapa venue sukan di kawasan sekitar kerana cuti umum yang panjang.

Kompleks Sukan MBI me­nempatkan beberapa venue Sukma kali ini seperti Pusat Akuatik, Stadium Perak, Stadium Indera Mulia, Arena Badminton dan Squash serta Stadium Tenis dan Stadium Ragbi.

Peniaga kraftangan, Mohd. Hashim Mohd. Adnan, 54, berkata, ramai pengunjung terutamanya sekreteriat sukan dari negeri lain datang ke gerai jualan kraftangannya untuk membeli buah tangan bagi keluarga, rakan dan dan sahabat handai.

Katanya, paling mencuri tumpuan adalah labu sayong sama ada bersaiz kecil yang dijual RM10 untuk tiga buah atau saiz besar yang dijual hanya RM18 sebuah berbanding harga biasa RM25.

“Gerai ini dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dan sepanjang ia dibuka, pengunjung yang datang tidak putus-putus dan kebanyakan mereka membeli labu sayong dan kraftangan berasaskan rotan.

“Ini menyebabkan saya terpaksa menambah stok barangan setiap hari supaya pengunjung yang datang mempunyai le­bih banyak pilihan tentang ba­rangan yang mereka kehendaki,” katanya.

Peniaga pakaian sukan, Zahirudin Mohd. Sultan, 49, pula berkata, dalam sehari kira-kira 400 pengunjung datang ke gerai jualannya.

“Alhamdulilah, perniagaan di sini amat menggalakkan dan jualan juga lebih daripada biasa.

“Kalau dihitung kami mampu mendapat pulangan lebih daripada tiga kali ganda berbanding berniaga di luar Stadium Perak setiap kali perlawanan bola sepak berlangsung,” katanya.

Peniaga menu sedia dimakan 'Dapor Dinda' keluaran Ana Salwa Resources, Nurin Arina Ibrahim, 18, pula berkata, jualan sempena Sukma Perak 2018 tersebut mampu memperkenalkan lagi barangan jualannya.

Kata Nurin Arina, dia menjual empat jenis produk iaitu daging dendeng, sambal berapi ikan masin dan bilis berapi yang sedia untuk dimakan serta satu lagi berupa pes 'shell out'.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan saya mampu menjual kira-kira 20 bekas sehari di sini,” katanya yang menjual semua produk tersebut antara RM17 sehingga RM19 sebekas.