Resort yang diusahakan oleh Kumpulan Perbadanan Pemba­ngunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Ipoh di kawasan seluas 259 hektar menyediakan penginapan chalet di kawasan persekitaran semula jadi dan tradisional.

Selain tanaman mang­ga, Patro meng­usahakan tanaman kelapa mataq serta produk hiliran iaitu tanaman herba dan u­lam-ulaman seperti misai kucing, kunyit, rosella, nanas, daun kesum dan penternakan itik telur yang kini mencecah 1,300 ekor serta madu kelulut.

Pengurus Besar Patro, Azhar Md. Radzi berkata, gabu­ngan elemen pertanian, pelancongan dan keindahan semula jadi yang terdapat di resort itu sukar diperoleh di tempat lain.

Katanya, berkunjung ke Patro umpama balik kampung kerana semua yang ditawarkan menepati ciri-ciri tersebut baik dari segi penginapan, makanan, tanaman serta aspek lain seperti lima buah tasik untuk memancing dan trek berkuda.

“Kami mahu pengunjung tersenyum dan gembira kerana dapat mengimbau semula nostalgia kehidupan ketika masa kecil mereka yang kini tidak lagi dapat dirasai oleh generasi muda ketika ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Semua itu boleh dinikmati dengan bayaran penginapan yang berpatutan di antara RM350 hingga RM1,200 iaitu berdasarkan pakej.

Apa yang menarik, pengunjung yang tidak bermalam tetapi mahu melawat kawasan ladang di Patro hanya dikenakan bayaran RM15 manakala kanak-kanak separuh harga.

Azhar berkata, pelbagai aktiviti ditawarkan di Patro antaranya sukan lasak seperti ATV, berbasikal dan paintball serta aktiviti sukan air seperti bot kayuh dan kanu.

Katanya, pengunjung juga berpeluang melihat sendiri ta­naman yang dihasilkan di sekitar kawasan tersebut seperti cili, kunyit dan daun kesum, per­usahaan madu kelulut dan pemprosesan telur masin.

Katanya, turut disediakan pakej permainan dan seni hiburan tradisional sekiranya diminta pengunjung.

Jelasnya, pengunjung boleh melakukan aktiviti pertanian yang jarang ditawarkan oleh mana-mana pakej pelancongan seperti mengutip telur itik di pusat ternakan itik.

“Malah jika mahu, mereka boleh membuat telur masin. Kami menyediakan tenaga pe­ngajar serta bahan-bahan yang diperlukan seperti tanah liat dan sekam padi.

“Pakej ini terbuka untuk semua aktiviti pertanian dan penternakan yang ada di sini. Semua yang ada di sini um­pama ‘kepunyaan sendiri’. Ja­ngan ta­kut, pengunjung boleh memetik dan memakan ulam-ulaman yang ada di sini,” katanya.

Menurut Azhar, di Patro juga turut disediakan trek dan akti­viti menunggang kuda malah pe­ngunjung boleh mengikuti kelas belajar menunggang kuda de­ngan jurulatih yang bertauliah.

Di samping itu, tambah Azhar, Patro merupakan satu-satunya hotel dan resort di negara ini yang membenarkan membawa tempoyak dan durian sebagai menu utama untuk di­sajikan kepada pengunjung.

“Semua masakan di restoran kami 95 peratus adalah masakan asli daerah Perak Tengah seperti gulai tempoyak serta masakan kampung lain.

“Kami mempromosikan masakan berorentasikan udang galah yang banyak terdapat di Tanjung Tualang serta ikan su­ngai. Kami tiada masalah untuk mendapat bekalan ke­ra­na ramai nelayan tempatan yang menjual hasil tangkapan mereka,” katanya.

Katanya, tahun ini, pihaknya merancang untuk membina surau dan kemudahan trek untuk perkhemahan selain pembinaan dua blok chalet yang me­ngandungi masing-masing empat bilik menjadikan kini terdapat 20 unit villa dan dijangka siap hujung bulan ini.

“Selain itu, pelbagai penambahbaikan lain juga sedang kita fikirkan, antaranya terma­suklah menghasilkan kebun buahan-buahan rambutan, durian, langsat untuk pengunjung memetik dan makan di dusun,” katanya.