Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, selain itu tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat membina struktur haram tersebut.

“Kerajaan negeri juga akan meningkatkan kawalan di Pulau Sembilan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin dan pihak polis bagi memastikan aktiviti pembinaan haram ini tidak berulang,” katanya di sini hari ini.

Semalam, ketika merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tindakan kerajaan negeri menutup Pulau Sembilan sebagai keputusan yang tepat.

Baginda bertitah, perbuatan para pengusaha yang tidak menghormati peraturan dan kawalan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa telah menyebabkan keindahan alam semula jadi di pulau itu terancam. - UTUSAN ONLINE