Pengarah KPDNHEP nege­ri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, dalam operasi di kesemua premis itu sejak pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), pihaknya telah memeriksa sebanyak 4,500 barang.

Katanya, notis yang dikeluarkan itu bukannya menunjukkan peningkatan harga tetapi sebagai peringatan dan amaran kepada semua rantaian perniagaan di negeri ini agar tidak menaikkan harga.

“Menerusi Op Catut mulai 1 September sehingga semalam, kita melawat 150 premis dan memeriksa 4,500 barang dan kesemua premis ini diberikan notis peringatan.

“Jumlah ini dijangka meningkat kerana pemeriksaan dijalankan secara berterusan dalam memastikan semua pihak mengambil tanggungjawab dengan menjalankan perniagaan secara beretika dalam pelaksanaan SST,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat pemeriksaan di Hotel [email protected], di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Shamsul Nizam Khalil.

Pemeriksaan yang turut diadakan di kilang pengeluar sarung tangan getah, Top Glove Corp. Berhad di kawasan Perindustrian Tasek itu juga disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 213 pegawai penguat kuasa dan 80 pegawai pemantau harga akan terus menjalankan pemeriksaan harga barangan dan perkhidmatan.

Katanya, bilik gerakan akan dibuka di semua cawangan KPDNHEP di negeri ini yang ber­operasi setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.

“Sebarang aduan berkaitan harga dan perkhidmatan yang di bawah bidang kuasa KPDNHEP boleh rujuk kepada kami untuk tindakan lanjut.

“Semua pihak terutama peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan terhadap perubahan sistem cukai de­ngan menaikkan harga sesuka hati manakala orang ramai juga dinasihatkan menggunakan kuasa sebagai pengguna dengan membuat pembelian bijak,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, sebanyak 960 premis yang terdiri daripada 10 pengilang, 100 pemborong dan 850 peruncit telah diperiksa bermula pada 9 Ogos sehingga 30 Ogos lalu dalam Operasi Catut 5.0.