Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Ahmad Shukri Mohamad Taib berkata, dalam tempoh tersebut, pihaknya te­lah menahan 10 individu dengan tujuh daripadamereka telah didakwa di mahkamah.

“Sepanjang tahun lalu kita telah membuka 56 kertas siasatan melibatkan rasuah iaitu 35 daripadanya membabitkan penjawat awam di negeri ini.

“Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lima kertas siasatan telah dibuka namun masih belum ada tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas maj­lis Melafaz dan Menandata­ngani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) di Bilik Mesyuarat Amanjaya Menara SSI di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Azizul Rahman Mohammad.

Ahmad Shukri berkata, penglibatan penjawat awam dalam salah laku rasuah di negeri ini disifatkan masih berada pada tahap yang rendah.

Katanya, kes-kes yang dilaporkan kepada SPRM negeri juga kebanyakannya melibatkan jumlah rasuah yang kecil dan lebih tertumpu kepada golongan penguat kuasa.

“Di Perak, kes yang melibatkan kakitangan kerajaan agak kurang. Salah satu faktornya mungkin disebabkan pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk Pemukiman Menteri Besar.

“Menerusi program seperti itu masyarakat tahu bahawa potensi untuk melakukan salah laku itu agak sukar dan tertutup,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 130 jabatan dan agensi daripada pelbagai sektor seperti kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik di negeri ini telah menandatangani dan melafazkan IBR tahun lalu.

“Bermula Januari hingga tahun ini, jumlah jabatan dan agensi melaksanakan program yang sama adalah sebanyak 18 buah,” kata beliau.