Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, skuad itu yang diilhamkan penubuhannya oleh Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP) perlu kerana golongan remaja berisiko besar terlibat dalam jenayah siber.

Menurutnya, remaja terdedah kepada pengaruh jenayah sibar kerana perkembangan tek­nologi masa kini selain memudahkan tugas polis.

“Skuad Rakan Alam Siber akan bertindak sebagai mata dan te­linga kepada pihak sekolah dan masyarakat untuk menyalurkan maklumat jika berlaku jenayah siber seperti penyebaran bahan pornografi, godaman dan penya­lahgunaan identiti pihak ketiga.

“Kerajaan negeri menyokong usaha penubuhan skuad ini dan akan membantu memperluaskannya ke sekolah di daerah lain sambil berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama-sama menjayakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Program Pencegahan Jenayah Siber Terhadap Remaja Peringkat Daerah Kuala Kangsar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Sektor Pe­ngurusan Maklumat Jabatan Pen­didikan Negeri, Zolkefli Mohd Idris dan Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak (PWPP), Datin Normah Hanum Ibrahim.

Dalam program itu, seramai 500 pelajar dari 13 buah sekolah di daerah ini diberi pendedahan kepada perilaku jenayah siber termasuk melalui ceramah yang disampaikan oleh penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim.

Sementara itu, Normah Ha­­num berkata, guru dan masya­rakat juga harus sama-sama berperanan mengawal tingkah laku remaja.

“Kita harus tanamkan nilai murni dan kuatkan jati diri remaja kerana mereka yang akan membawa hala-tuju masa depan negara,” katanya.