Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Trong, Jamaliah Zakaria berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak tiga kali banjir kilat dan banjir besar telah berlaku.

Beliau berkata, antara faktor penyebab banjir ialah keadaan sungai tidak terurus dengan laluan airnya sempit dan tersekat disebabkan sampah sarap.

“Apabila hujan lebat dalam beberapa jam sahaja, penempatan penduduk terutama di kawasan rendah sering dinaiki air dengan pantas sehingga meng­akibatkan banjir kilat.

“Sehubungan itu, perlunya dibina ban untuk projek tebatan banjir di sepanjang sungai yang dikenal pasti sering mengakibatkan banjir,” katanya selepas meninjau kawasan yang kerap dilanda banjir kilat, di sini semalam.

Dalam perkembangan berlainan, Jamaliah berkata, kebanyakan penduduk di kawasan DUN Trong terdiri daripada golongan pekebun kecil dan nelayan.

Menurutnya, kejatuhan harga sawit di pasaran menyebabkan golongan itu terjejas, lebih-lebih lagi bagi menyediakan keperluan persekolahan untuk anak-anak pada tahun depan.

“Oleh itu, saya harap kerajaan dapat mengekalkan elaun bantuan kepada golongan pekebun kecil dan nelayan. Kita sebagai wakil rakyat pembangkang tiada peruntukan dan hanya boleh membantu sekadar termampu,” katanya.