Baginda bertitah, malah pencapaian pelajar menguasai bahasa kebangsaan perlu dijadikan salah satu indeks utama pengukuran pencapaian (KPI) sekolah vernakular.

Sultan Nazrin bertitah, setiap warganegara wajib menguasai bahasa Malaysia sebagai tanda taat setia kerana tidak bermakna menjadi warganegara jika tidak boleh bertutur dan fasih dalam bahasa kebangsaan.

“Adalah janggal dan ironis jika terdapat seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia dengan mendapat segala nikmat dan keistimewaan seorang warganegara, tetapi tidak boleh memahami, tidak boleh bertutur, tidak boleh menulis dan tidak boleh membaca di dalam bahasa kebangsaan negaranya.

“Kejayaan sekolah vernakular memfasihkan anak didik mereka menguasai bahasa kebangsaan akan dapat membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu di samping turut meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat di negara ini terhadap sekolah vernakular,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. - UTUSAN ONLINE