Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ta­juddin Abdul Rahman berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat kementerian bagi melihat bentuk tindakan yang boleh diambil bagi tujuan tersebut.

Tambah Tajuddin, langkah itu perlu bagi membolehkan kawasan padi tersebut yang diusahakan kira-kira 400 penduduk dapat dipulihkan serta berdaya saing selain mengeluarkan hasil seperti yang sasarkan.

“Apa yang diberitahu kepada saya, kawasan padi berkenaan ketika ini hanya mampu menghasilkan sebanyak lima tan metrik bagi 0.4 hektar dan ada yang lebih rendah daripada itu. Jumlah itu amat jauh berbanding sasaran nasional sebanyak antara 10 hingga 12 tan metrik.

“Salah satu punca masalah ini adalah sistem pengairan. Ketika ini sawah bergantung penuh dengan sumber air Sungai Perak yang di­salurkan melalui tujuh buah rumah pam yang telah uzur. Kos penyelenggaraannya juga sangat tinggi.

“Jadi, saya lihat ada kewajaran apa yang diminta kerana IADA satu agensi yang mempunyai kepakaran dan fokus untuk usaha penanaman padi. Sebagai timbalan menteri, saya menyokong penuh dan akan membawa (permintaan itu) kepada pihak kementerian, menteri, ketua setiausaha dan pegawai tinggi kementerian untuk dipertimbangkan lebih serius,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan kelompok sawah padi terlibat di sekitar Kampung Pasir Gajah dekat sini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Zaim Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah ne­geri, Datuk Dr. Mohd. Nizar Zakaria yang juga Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Belanja.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ketika program Permukiman Menteri Besar di kawasan berkenaan 7 Mac lalu memohon supaya kementerian berkenaan menyenaraikan kawasan tersebut di dalam IADA Seberang Perak dekat sini

Kata Zambry, kawasan sawah berkenaan agak terkeluar walau­pun dari segi keseluruhannya boleh bersambungan de­ngan IADA Seberang Perak sebab ia tidak jauh daripada kawasan ter­sebut.