Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, DPNP merangkumi lapan intipati penambahbaikan pembinaan rumah.

PAUL YONG CHOO KIONG
PAUL YONG CHOO KIONG

Menurutnya, dasar itu termasuk kawalan dan penguatkuasaan pelaksanaan pembinaan rumah yang memberi jaminan setiap rakyat Pe­rak mampu memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata, dari tahun 2013 hingga 2017, hanya 1.24 peratus iaitu 769 unit daripada 61,658 rumah dibina pemaju swasta di negeri ini merupakan rumah kos rendah.

“Jumlah ini sudah pasti tidak dapat mencapai sasaran membina sekurang-kurangnya 5,000 rumah kos rendah.

“Atas sebab itu mekanisme kawalan dan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan rumah mesti diwujudkan dengan harapan dapat membantu meningkatkan kadar peratusan pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana untuk golongan B40 dan M40,” katanya da­lam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran portal e-Hartanah Negeri Perak sempena Taklimat Penambahbaikan Dasar Perumahan Perak kepada pemaju di sini semalam

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Yuhanas Kamaruddin dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak, Ir. Loh Ban Ho.

Paul Yong berkata, bukan tugas mudah untuk kerajaan menyediakan keper­luan rumah kos rendah pada harga RM70,000 kerana melibatkan subsidi dan nilai tanah yang tinggi.

Katanya, bagaimanapun kerajaan perlu sedaya upaya mencari jalan melaksanakannya untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar.

“Dalam tempoh tidak sampai setahun, lebih 1,200 unit rumah kos rendah berjaya dibina di seluruh negeri. Ini jauh lebih baik berbanding hanya 700 unit lebih sebelum ini,” katanya.