Dia yang kini berusia 84 tahun merupakan salah seorang daripada kumpulan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita negara menangis kegembiraan apabila melihat bendera penjajah tersebut diturunkan sebelum disusuli teriakan ‘Merdeka!’ oleh ribuan rakyat yang hadir.

Tambah Sariah, ketika itu dia yang bertugas di bahagian cawangan Trafik Kuala Lumpur diberi peluang bersama dua rakan untuk mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Selain dipertemukan dengan arwah suami, Kamaruddin Mohd. Nordin, kenangan paling manis dalam hidup mak cik apabila dapat melihat sendiri pada malam ambang kemerdekaan di Padang Kelab Selangor (kini dikenali Dataran Merdeka) di mana bendera Union Jack diturunkan.

“Ribuan orang yang datang pula berteriak dan melaungkan ‘Merdeka! Merdeka! Merdeka!’ di sana-sini. Rasanya sangat seronok dan tak sedar air mata mengalir kerana terlalu gembira,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cicely dekat sini, hari ini.

Sariah berkata, selain menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah tersebut, beliau turut berpeluang bersalaman dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebaik sahaja selesai menjalankan tugas.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tugas kepolisan, Sariah jujur menyatakan tidak pernah terlintas dalam fikirannya mahu menjadi seorang anggota polis.

Namun, kerana cintakan tanah air serta semangat ingin berjasa kepada agama, bangsa dan negara selain membantu keluarga keluar dari kepompong kemiskinan, dia membulatkan tekad menyertai pasukan keselamatan tersebut pada 1 Julai 1956.

Lebih membanggakan, anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Jalan Sulaiman, Muar, Johor ini merupakan salah seorang daripada kumpulan pertama Pasukan Polis Konstabel Wanita yang ditubuhkan setahun sebelum kemerdekaan negara itu.

“Terpilih menjadi salah seorang daripada 54 wanita pertama menceburi bidang kepolisan sebelum kemerdekaan negara adalah perkara paling membanggakan bagi saya dan semua ahli keluarga.

“Walaupun telah bersara hampir 36 tahun lalu, namun pengalaman sepanjang bertugas sebagai polis cukup memberi iktibar buat saya dan keluarga tentang betapa besarnya erti kemerdekaan dan keamanan yang dicapai negara ketika ini,” katanya.