Menurut Peng Lam, semuanya bermula ekoran minat yang mendalam memelihara burung merbah jambul, namun berdepan kesukaran untuk mendapatkan sangkar yang berkualiti.

Tambah beliau, harga pasaran sebuah sangkar burung yang bermula pada harga RM2,000 sehingga mencecah puluhan ribu juga memberi ilham kepadanya untuk menghasilkan produk serupa tetapi mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.

“Hobi memelihara burung eksotik seperti merbah jambul dan murai kampung semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di utara Semenanjung.

“Namun, harga pasaran bagi sebuah sangkar burung amat tinggi kerana boleh mencecah puluhan ribu ringgit disebabkan oleh penggunaan material yang berkualiti serta hasil seni pertukangan halus. Justeru saya nekad untuk cuba menceburi bidang yang asing ini,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan pameran pertunjukan burung di sini, baru-baru ini.

Bermula tanpa sebarang ilmu, Peng Lam berkata, apa awalnya dia mencuba menghasilkan sebuah sangkar burung dengan menggunakan material kayu jati yang diimport dari Myanmar.

“Saya menghabiskan masa hampir sebulan untuk menyiap­kan sebuah sangkar burung. Saya hasilkannya hanya berdasarkan penelitian dan pemerhatian terhadap beberapa sangkar burung yang dibeli sebelum ini.

“Pada masa itu juga, banyak peminat burung kurang yakin dengan kemampuan saya menghasilkan sangkar burung kerana pembuatannya sinonim dengan masyarakat Melayu,” katanya.

Namun begitu, Peng Lam berkata, dia tidak pernah berputus asa sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh serta menghabiskan masa selama 24 jam sehari semata-mata untuk memperbaiki teknik ukiran pada penghasilan kayu sangkar.

Usaha gigihnya itu bagaimanapun mula membuahkan hasil selepas enam bulan kemudian apabila sangkar burung yang dihasilkannya berjaya terjual melebihi enam unit dalam sebulan, berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Sebelum ini, hanya sebuah sangkar burung yang terjual, malah pada suatu ketika, saya langsung tidak menerima sebarang tempahan daripada pelanggan yang masih ragu-ragu dengan keupayaan saya.

“Kini, segalanya berubah kerana saya perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 20 buah sangkar burung yang ditempah pelanggan dari seluruh negara pada setiap bulan,” katanya.

Menggunakan material kayu jati berkualiti serta hasil ukiran kayu kemas, Peng Lam hanya menetapkan harga jualan bermula dari RM200 hingga RM1,300 bagi setiap sangkar burung.

Menurutnya, penetapan harga mampu milik itu dibuat bagi membolehkan setiap peminat haiwan tersebut dapat membeli sangkar bagi menempatkan burung eksotik kesayangan mereka.

“Ada juga yang mempertikaikan harga jualan saya dan menganggapnya terlalu rendah. Bagi saya, hobi memelihara burung ini tidak perlu dijadikan sebagai satu hobi mahal dan eksklusif, sebaliknya perlu dibuka kepada semua lapisan masyarakat kerana ianya unik dan menghiburkan,” katanya.

Peng Lam berkata, sehingga kini, dia hanya memberi perhatian untuk menghasilkan sangkar burung gaya merbah jambul, murai kampung, murai batu dan murai cacing.

Dia mengakui mengambil masa selama sehari atau dua hari bagi menyiapkan sesebuah sangkar burung biasa.

“Bagi tempahan sangkar burung berkualiti tinggi dan mewah, saya memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat hari bagi memastikan kualiti yang dihasilkan adalah memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Bagi tujuan promosi, Peng Lam berkata, dia menggunakan aplikasi media sosial dan laman sosial Facebook bagi menghebahkan perniagaan selain menjualnya secara terus di premisnya.

Katanya, sehingga kini, pe­langgan yang membuat tempahan bukan sahaja datang dari utara Semenanjung, malah turut mendapat perhatian peminat burung dari Singapura.

Sehubungan itu, berbekalkan minat mendalam terhadap burung eksotik, Peng Lam juga terdorong untuk menganjurkan pelbagai pertandingan seni suara dan gaya burung merbah jambul, murai batu dan murai cacing di sekitar negeri Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Tambahnya, kemerduan suara burung serta gaya unik penjagaannya, berjaya menarik penyertaan sekurang-kurangnya 100 peserta dari seluruh negara dengan lebih 200 ekor burung dipamerkan dalam setiap pertandingan yang dianjurkan.

“Hobi memelihara burung eksotik sebenarnya bukan sahaja diminati oleh masyarakat Melayu, tetapi turut menjadi kegilaan orang Cina dan sebilangan kaum India.

“Sehingga kini, saya memiliki ramai kawan Melayu yang merupakan peminat burung. Mereka sudi berkongsi ilmu penge­tahuan serta teknik penghasilan sangkar burung tanpa sebarang prejudis,” katanya.